Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari bahawa pada suatu hari datang seorang lelaki menemui Nabi Muhammad s.a.w untuk meminta sedekah.
Rasulullah menyuruh lelaki berkenaan menunggu sekejap dan baginda masuk ke dalam rumah. Selepas keluar semula, Rasulullah menghulurkan sebilah kapak kepada lelaki itu sambil memintanya pergi berusaha mencari kayu untuk dijual di pasar.
Dikisahkan sebelum lelaki itu pergi, Rasulullah berpesan kepadanya agar dua tiga hari lagi datang semula menemui baginda. Apakah yang berlaku kemudian? Selang beberapa hari, lelaki itu datang menemui Rasulullah dan mengkhabarkan berita gembira yang dia berhasil menjadi seorang peniaga kayu.
Inilah dorongan dan motivasi Nabi Muhammad kepada umatnya agar tidak meminta-minta, sebaliknya berusaha terlebih dahulu untuk mendapatkan rezeki untuk penghidupan di dunia.
Hinggakan Rasulullah pernah membaca doa khusus untuk mengelakkan sikap malas berusaha ini dan sewajarnya kita mengamalkan membaca doa berkenaan setiap hari agar terus memiliki semangat dalaman yang mantap untuk bekerja dan terus berusaha.
Doa Rasulullah itu ialah “Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada kegelisahan dan dukacita, kelemahan dan kemalasan, pengecut dan bakhil dan daripada bebanan hutang.” (Riwayat Abu Daud).
No comments:
Post a Comment