KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang wanita warga emas untuk membeli makanan ringan di sebuah stesen minyak tidak kesampaian apabila dia maut selepas dirempuh sebuah van ketika melintas jalan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, di sini, pagi semalam.
Kelsom Chik, 68, dari Kampung Padang Hiliran meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk bedah siasat.
Anak saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Jefri, 35, berkata Kelsom keluar dari rumah seorang diri melalui jalan kampung dan ketika melintas dia dilanggar sebuah van yang datang arah jambatan Sultan Mahmud.
“Saya yang mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada seorang rakan terus ke lokasi kemalangan, tetapi apabila tiba, saya dapati ibu saudara saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.
Jefri berkata, arwah ibu tunggal yang tinggal dengan seorang saudaranya di kampung itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kemalangan berlaku jam 8.40 pagi di depan sebuah stesen minyak berhampiran Jambatan Sultan Mahmud dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Atas Tol, di sini, seorang pemuda terbunuh apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Zamri berkata, Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, yang bekerja sebagai buruh dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Setar untuk pulang ke rumahnya apabila bertembung dengan sebuah motosikal lain yang melintas jalan.
Katanya, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
P/s : Takziah pada keluarga arwah....
sumber : metro
No comments:
Post a Comment