Sunday, January 16, 2011

BERISTIGHFAR

Apabila Nabi Adam dicampakkan ke bumi kerana dosa yang telah dilakukannya, baginda telah bertaubat dan beristighfar selama beratus-ratus tahun hinggalah baginda dipertemukan dengan Hawa di padang Arafah.


Di antara sebab terpenting diturunkanNya rezeki ialah istighfar (memohon keampunan dari Allah) dan taubat kepada Allah. Oleh kerana pentingnya, beristightar dan bertaubat, maka ia hendaklah menjadi amalan harian kita. Ia juga merupakan amalan yang boleh meningkatkan semula rezeki kita setelah kita melakukan banyak kesalahan atau dosa.

Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.

Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)

Bagaimana Beistighfar:

Beristighfar ialah mengucapkan perkataan Astaghfirullah hal Azim. (Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung) diikuti dengan meminta ampun dengan ucapan dan perbuatan. Dari segi perbuatan, ialah meninggalkan kesalahan yang telah kita lakukan. Allah akan mengampunkan kesalahan kita sebagaimana firman Allah bermaksud, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh: 10)

Dalam Al-Quran, terdapat nas yang menunjukkan bahawa dengan istighfar dan bertaubat kepada Allah, termasuk diantara sebab-sebab diturunkan rezeki dan dikurniakan rahmat Allah.

Dalam Al-Quran terdapat petikan kata-kata Nabi Nuh kepada kaumnya: “Maka aku katakan kepada mereka. ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu’, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai’.” (Nuh: 10-12)

Maka selalulah beristighfar dan bertaubat kerana ini merupakan antara sebab murahnya rezeki kita, berkatnya harta kita dan makbulnya doa doa kita kerana kita telah meminta ampun dari Allah dan InsyaAllah, Allah yang sifatnya Maha Pemurah akan mengurniakan permintaan dan memakbulkan doa kita kita. Janganlah jemu-jemu beristighfar. Ada hadis mengatakan bahawa Rasulullah beristighfar sebanyak sekurang-kurangnya 70 kali sehari.

Sumber : rahsiarezeki

No comments: