Tuesday, December 21, 2010

SPA ambil 41,840 kakitangan awam hingga 30 November 2010

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melantik seramai 41,840 calon bagi mengisi kekosongan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam sehingga 30 November lalu.


Pengerusinya, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, suruhanjaya itu menerima lebih 1.2 juta permohonan yang dibuat secara dalam talian bagi tempoh berkenaan.

Pada tahun lalu, katanya, SPA menerima lebih 1.5 juta permohonan dengan seramai 50,756 calon dilantik ke pelbagai jawatan yang ditawarkan dalam perkhidmatan tersebut.

"SPA menjangkakan dapat melantik kira-kira 50,000 anggota menjelang penghujung bulan ini seperti yang dilakukan pada tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat temuduga SPA cawangan Alor Setar di sini hari ini.

Pusat temuduga yang terletak di aras lapan bangunan Wisma Persekutuan di sini itu dilengkapi dengan infrastruktur moden dan dapat menampung seramai 320 calon pada satu-satu masa.

Ia mempunyai sembilan bilik temuduga, sebuah bilik pemeriksaan fizikal, ruang menunggu untuk calon dan kemudahan Internet.

Jamaluddin berkata, SPA akan melakukan pembaharuan dalam urusan pengambilan kakitangan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kualiti sumber manusia dalam perkhidmatan awam selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurut beliau, suruhanjaya itu kini dituntut untuk memainkan peranan secara proaktif bagi menarik bakat yang terbaik untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam.

Sementara itu, mengenai pembukaan pusat temu duga berkenaan, Jamaluddin berkata, ia bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada calon-calon khususnya dari negeri ini yang berurusan dengan SPA.

Katanya, kewujudan pusat seumpama itu yang kelima selepas dibuka di Kota Bharu; Kuantan; Ipoh dan Johor Bahru merupakan manifestasi suruhanjaya berkenaan untuk mendahulukan pelanggan dan mendekatkan lagi perkhidmatannya ke peringkat negeri.

p/s : Bila la aku menjadi salah seorang daripada calon itu???????.....Ya Allah permudahkanlah rezeki hambamu ini Ya Allah..amin....


- UTUSAN

No comments: