Wednesday, December 8, 2010

Dugaan di Tanah Suci Mekah

Mosques_animation.gif

Kata orang pergi menunaikan haji harus menghadapi berbagai-bagai dugaan dan cabaran. Dugaan dari Allah tidak tertanggung bagi sesetengah orang. Ia datang dalam berbagai-bagai bentuk dan situasi. Bila berada di sana, barulah kita dapat melihat dengan jelas bentuk dugaan yang dimaksudkan.

Ada orang hilang, tersesat dalam Masjidil Haram. Seharian ia tidak dapat mencari jalan keluar untuk pulang ke hotel. Bermula dari solat subuh hinggalah lewat malam baru dapat pulang. Itupun setelah bertemu dengan pegawai polis Arab Saudi yang bertugas di kawasan masjid. Pegawai polis tersebut yang menghantarnya pulang ke hotel penginapan.

Ada orang asyik merayau di sekitar kawasan hotel mencari kerbau yang entah di mana ditambatnya. Setiap kali bila ditanya hendak ke mana, beliau akan memberitahu sedang mencari kerbau. Apabila disiasat, rupa-rupanya semasa di tanahair, beliau memelihara banyak kerbau tetapi dilepaskan berkeliaran merosakkan tanaman orang-orang kampung.

Ada orang yang menjadi pelupa sehingga tidak tahu di mana isterinya tinggal. Setiap kali hendak berjumpa isteri, sentiasa tersalah bilik. Setiap kali mengetuk pintu, terkena pintu bilik orang lain. Bila dirisik-risik, rupa-rupanya semasa di tanahair dia sentiasa meninggalkan isterinya di rumah apabila pergi ke mana-mana.

Ada orang terlupa terus bagaimana hendak bersolat. Tidak ingat lagi rukun solat yang selalu diamalkannya. Entah apa yang dibuat dan dibacanya, tiba-tiba terus memberi salam. Jumlah rakaat sembahyang tidak dapat ditentukan.

Orang ada berpesan, bila berada di Tanah Suci, mulut jangan celupar. Jangan bercakap ikut sedap sahaja. Apa yang tidak pernah terfikir oleh kita, boleh berlaku di Mekah Al-Mukaramah. Dua sahabat baik boleh berpisah dan renggang. Suami isteri bergaduh dan bercerai-berai. Anak-anak boleh bergaduh dengan orang tua sendiri. Semuanya kerana mulut tidak dijaga. Bercakap tidak berlapik.

Ada juga orang yang menjadi akrab selepas berjumpa di sana. Bermula dari sentiasa bersama berulang-alik ke masjid untuk bersolat, sehinggalah pulang ke tanahair, terus menjadi sahabat bai. Ada juga cerita orang bertemu jodoh di Tanah Suci. Demikianlah kehendak Tuhan. Alhamdulillah!

Bila kita berkata makanan tidak sedap, alamat tidak makanlah kita. Berlaparlah kerana makanan yang sedap akan terus menerus meloyakan kita. Terpaksalah berbelanja besar membeli makanan yang lain yang belum tentu lazatnya. Kedai makan pula bukan seperti di sini, hendak jumpa sebuah pun susah.

Tanah Suci mengajar kita banyak bersabar dan merelakan semua cabaran dan dugaan. Mulut tidak celupar dan tidak sombong. Bercakap hendaklah melalui pertimbangan akal yang paling waras. Bergurau biar kena tempatnya agar tidak menyinggung perasaan sesiapa. Membantu orang lain patut menjadi perkara pertama yang mesti dilakukan setiap kali hari bermula.

Dugaan dan cabaran ini sebenarnya adalah untuk melatih diri semua orang. Apabila pulang nanti, kita semua ‘berkulit’ baru dengan tabiat yang baru.

Insyaallah!

No comments: