JAMALUDDIN Abdul Rashid yang dulunya siswazah menganggur kini menjadi usahawan tani yang berjaya di hadapan banglonya di Kampung Sadek, Kupang, Kedah.
BALING 24 Mac – Kira-kira 19 tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Jamaluddin Abdul Rashid bercita-cita untuk menjadi pegawai daerah.
Bagaimanapun permohonannya bagi pekerjaan ke arah jawatan tersebut gagal.
Beliau kemudian memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi nasib tidak menyebelahinya.
Malu dengan keadaan dirinya yang masih menganggur walaupun memiliki segulung ijazah, Jamaluddin sanggup melakukan semua kerja termasuk menjadi buruh, bersawah dan menoreh getah – semua kerja yang tidak memerlukan ijazah.
Setelah lima tahun `menjaja’ ijazahnya, beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1986 memutuskan untuk tidak lagi memohon pekerjaan menggunakan kelulusannya itu.
Sebaliknya, Jamaluddin, 45, berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya.
Beliau bukan sahaja menjadi majikan kepada 10 orang pekerja tetapi mendapat kepercayaan sebuah pemaju terkenal untuk membekalkan pokok bunga dan teduhan ke jabatan kerajaan, sekolah dan swasta.
Hasil titik peluhnya mengusahakan tapak semaian yang dikenali sebagai `Semaian Ani Ayu’ itu, Jamaluddin yang pernah menyertai Skim Khidmat Siswazah (SKS) bagi graduan menganggur pada 1986, dapat membina sebuah banglo.
Banglo tersergam indah di Kampung Sadek, Kupang yang berharga lebih RM300,000 itu adalah lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian seorang siswazah yang tidak bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.
“Saya tidak berminat untuk bekerja di pejabat lagi walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi,” kata Jamaluddin ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari ini.
Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyesal kerana cita-cita menjadi pegawai tinggi kerajaan tidak tercapai.
Beliau turut menasihatkan graduan menganggur yang kini berjumlah 80,000 orang supaya tidak memilih pekerjaan dan berharap kerja `makan gaji’ semata-mata.
“Buatlah sebarang pekerjaan yang halal dan sebaik-baiknya buatlah pekerjaan sendiri kerana kita lebih bebas dan tidak terikat,” ujarnya.
Menceritakan kejayaannya itu, Jamaluddin berkata, beliau mendapat dorongan Jabatan Pertanian dan rakannya seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Botani Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengusahakan tapak semaian di atas tanah seluas satu hektar pada tahun 1991.
Tambahnya, beliau sedar untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu.
Bapa kepada dua anak hasil perkongsian hidup bersama Noraini Sulaiman, 39, itu kini boleh berbangga apabila perniagaannya telah berkembang ke seluruh negara walaupun pendapatan awal hanya sekitar RM400 sebulan.
Menurut Jamaluddin, ijazah yang diperoleh hanya sekadar untuk mendapat pengetahuan serta ilmu tetapi ia bukan lesen untuk memperoleh kerja bergaji besar tanpa berusaha sendiri.
“Saya semakin seronok apabila perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga melebihi empat angka,” kata Jamaluddin yang turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun katanya, skim itu perlu meningkatkan bimbingan secara berterusan kepada bekas siswazah, sementara golongan itu pula perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti.
p/s : kepada kawan2 yang masih lagi mengganggur anda digalakkan mencuba mana-mana cabang perniagaan kecil-kecilan...insyaallah rezeki ada dimana...nasihat untuk diri sendiri juga...
kredit http://harizamrry.wordpress.com/2007/11/07/siswazah-menganggur-5-tahun-jadi-usahawan-tani-berjaya/
No comments:
Post a Comment