ABDULLAH bin Zubair adalah seorang sahabat Nabi Muhammad. Semasa Rasulullah meninggal dunia, beliau masih kecil. Beliau adalah anak kepada Asma' binti Abu Bakar, iaitu cucu kepada Abu Bakar as-Siddiq. Pada masa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Zubair dilantik menjadi pegawai kanan Muawiyah menentang tentera Rom.
Pada masa itu, Muawiyah menghargai setiap kejayaan dan perkara baik yang dilakukan oleh Abdullah. Abdullah juga menunjukkan rasa hormat dan tanda setianya pada Muawiyah.
Abdullah memiliki sifat-sifat yang baik seperti beramal soleh, berpegang teguh pada agama islam dan sentiasa bertakwa kepada Allah. Perubahan sikapnya mula berlaku apabila Muawiyah melantik anak lelakinya iaitu Yazid menjadi Putera Mahkota menggantikan tempatnya.
Semasa pemerintahan Yazid, pelbagai kekejaman berlaku seperti pembunuhan ke atas Husein bin Ali di Karbala pada tahun 63 Hijrah dan serangannya ke atas Madinah. Perkara itu menyebabkan Abdullah bangkit menentang Yazid.
Namun begitu, pengaruh Yazid semakin kurang apabila masyrakat Islam benci padanya. Mereka tidak menyukai tindakan Yazid yang kejam. Pernah Yazid menyuruh Muslim bin Uqbah dan tenteranya yang lain membunuh Abdullah bin Zubair. Tetapi Uqbah meninggal dunia dan digantikan dengan al-Gusein bin Numair.
Namun, Abdullah tidak dapat ditewaskan sehingga Yazid meninggal dunia. Pada tahun 73 Hijrah, Abdullah tidak dapat bertahan apabila daerah di bawah kekuasaannya ditawan oleh tentera Abdul Malik. Ketua pimpinan tentera Abdul Malik itu adalah al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi. Peristiwa kematian Abdullah berlaku apabila beliau dikepung di Mekah selama beberapa bulan. Akhirnya, Abdullah meninggal dunia.
Sepanjang hidupnya, Abdullah seorang yang cermat dan berhati-hati dalam urusan kewangan.
Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya pernah berpesan kepadanya: "Abdullah, apabila kamu menghadapi masalah, hendaklah kamu mengadu kepada Allah. Hanya Allah sahaja tempat yang layak mengadu."
Selepas bapanya meninggal dunia dalam peperangan menentang musuh, Abdullah berjumpa sebuah buku kecil di dalam bilik bapanya itu.
Lalu Abdullah berkata, "Buku apakah ini?"
Abdullah tidak pernah melihat buku itu. Ia sebenarnya adalah buku wang simpanan bapanya. Tanpa membuang masa, beliau memeriksa buku itu.
"Banyaknya hutang ayah yang belum dibayar. Semuanya berjumlah dua juta dirham," kata Abdullah dengan perasaan terkejut.
"Ayah sudah meninggal dunia. Tetapi hutangnya masih belum bayar. Saya perlu membayar hutang ini supaya roh ayah tenang di alam barzakh," kata Abdullah bersendirian.
Sikap amanah dan jujur yang ada pada Abdullah membuatkan orang lain mempercayainya. Ramai orang meminta Abdullah menyimpankan wang mereka.
Pada suatu hari, Abdullah berkata kepada orang ramai yang mahu menyimpan wang mereka kepadanya: "Sekarang ini saya tidak mempunyai tempat yang selamat bagi menyimpan wang anda semua. Namun saya mahu meminta izin daripada anda semua bagi meminjamkan wang anda semua. Saya berjanji membayar semula."
"Saya bersetuju sekiranya kamu mahu meminjam wang saya yang ada pada kamu itu," kata salah seorang penyimpan wang yang ada di sana.
Melihat kejadian itu, orang ramai turut bersetuju meminjamkan wang kepada Abdullah kerana mengetahui mengenai sikapnya. Akhirnya, beliau dapat membayar semula hutang peninggalan arwah ayahnya itu. Malah beliau juga dapat membayar semula hutangnya kepada orang ramai yang meminjamkannya wang.
Pernah suatu ketika, Abdullah tersilap mengira buku wang simpanan ayahnya itu.
Beliau menyangka Abdullah bin Jaafar berhutang sebanyak satu juta dirham kepada ayahnya.
Selepas dikira semula, Abdullah mendapati ayahnya yang berhutang sebanyak satu juta dirham kepada Abdullah bin Jaafar.
"Maaf, saya cuba membayar segala hutang-piutang yang ditanggung oleh arwah bapa saya, yang berjumlah satu juta dirham itu," jelas Abdullah.
"Baiklah, apabila kamu cukup wang bagi membayarnya nanti, kamu bayarlah. Saya percaya kepada kamu," balas Abdullah bin Jaafar pula.
Abdullah bin Zubair berasa lega selepas mendengar penjelasan itu. Bagi melangsaikan hutang itu, beliau memberikan sebidang tanah kering kepada Abdullah bin Jaafar. Abdullah bin Jaafar menerima pembayaran hutang itu dengan hati terbuka. Kini, hutang bapanya sudah dibayar kesemuanya.
Begitulah sikap amanah dan jujur Abdullah bin Zubair. Sifat peribadinya yang terpuji itu menjadikan beliau seorang yang kuat berpegang teguh kepada Allah dan ajaran yang disampaikan oleh nabi Muhammad.
Sebagai seorang Islam yang beriman, kita juga wajar mengikuti sifat-sifat baik yang dimiliki oleh Abdullah bin Zubair. bagi membalas jasa dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anakm kita juga perlu menyelesaikan segala hutang-piutang yang ditanggung oleh kedua-dua ibu bapa kita apabila mereka sudah tiada kelak.
kredit Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment