ZURIAT adalah amanah Allah dan seharusnya dipelihara dan didik dengan sempurna. - Gambar Hiasan
SAYA ingin meminta pandangan mengenai status anak luar nikah. Wajarkah status anak itu dirahsiakan daripada pihak lelaki atau bakal suami kerana bimbang ia boleh mendatangkan aib jika diketahui lelaki berkenaan? Sekiranya dirahsiakan dikhuatiri lambat laun pasangan akan tahu dan mendatangkan masalah. Apakah harus dilakukan? Adakah berterus terang cara terbaik atau patutkah mendiamkan diri dan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan bakal suami.
Insan Dilema.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat-13 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa.”
Perlu diingat, anak ini tidak berdosa kerana yang berdosa adalah ibunya. Seharusnya, anak ini tidak turut berdosa hanya disebabkan dosa ibunya. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 164: “Dan tidaklah menanggung dosa oleh seseorang akan dosa orang lain.”
Ibunya pula, jika ia sudah taubat dengan taubat nasuha, maka sucilah si ibu terbabit daripada dosanya dengan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT. Kita tidak boleh mencacinya, baik terhadap anak itu atau ibunya akibat kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila sudah berzina seorang hamba perempuan, maka nyatalah zinanya, maka hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina pula kali kedua, hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina kali ketiga, hendaklah dijualnya walaupun dengan (harga) tali dari bulu.”
Oleh itu, apabila kita mengetahui keadaan dan kedudukan asal usul seseorang yang kurang baik, sunat bagi kita sembunyikan perkara itu dan jangan dihebahkan baik yang berkepentingan atau pun kepada yang lainnya. Kecuali ketika mana ia berbuat mungkar, maka wajib diingkari. Wallahua’lam.
sumber : Berita harian 3/10/2010
No comments:
Post a Comment