8 Mac 2012
Dalam zaman serba maju ini, pada saat ramai meletakkan dunia sebagai pilihan nombor satu, apakah kita juga akan terikut-ikut dengan lagak mereka? Inilah masanya akal yang waras digunakan.
Pernahkah terjadi, apabila kita mahu berhenti seketika sewaktu sedang asyik bermesyuarat semata-mata kerana terdengar laungan azan, ramai yang terkejut. Bukannya lama, tidak sampai pun dua minit kerana itu adalah suara menyeru kepada kebaikan.
Padahal mendengar lagu-lagu melalaikan sehingga berjam-jam boleh pula. Ada juga yang berterusan bergosip, berbual perkara mengaibkan dan bergurau senda hingga mengabaikan batas pergaulan tatkala azan berkumandang.
Walaupun amalan menghormati azan nampak kecil sahaja perbuatannya namun apabila terjumpa sebuah hadis yang bermaksud; “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALLAH akan kelukan lidahmu ketika maut menghampiri.” Ah, saya jadi terpana seketika!
Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya tidak kita ketahui. Cuba kita amati mengapa kebanyakan orang sedang nazak dan hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa… lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan ‘sakaratul maut.’
Ya. Itulah maknanya hadis tadi. Jikalau sudah sahih ada hadis menyarankan agar mendiamkan diri semasa azan berkumandang, maka usahlah dipertikai. Sebagai orang yang bernama Islam maka wajiblah menghormati azan. Banyak fadhilatnya.
Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, ALLAH akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah semasa ajal hampir tiba, tidak dapat mengucapkan kalimah nikmat itu.
Suatu waktu dulu, laungan azan sama ada di radio dan televisyen, akan dimulai dan disusuli dengan doa dan muzik lembut. Ketika itu kita pun mula bangun untuk bersolat. Emak dan bapa sudah mula menjeling-jeling, kita yang asyik bermain atau menonton tv segera bangun.
Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah, masuk sahaja waktu solat, azan hanya ditulis pada skrin. Atau jika di radio, juruhebah hanya memberitahu sudah masuk waktu kemudian diikuti dengan lagu rap yang cintan-cintun atau lagu dangdut yang alahai… Maka tumpuan kita pada azan hilang terbang.
Menurut hadis itu lagi sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah “Lailahaillallah” ketika nyawanya dicabut ALLAH, adalah dengan izin-Nya menjanjikan syurga untuk mereka. Tulisan ini tidak lain tidak bukan, ingin mengajak bersama-sama menghormati azan dan mohon kepada ALLAH supaya lidah ini tidak kelu ketika nyawa sedang dicabut.
Diriwayatkan, Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan, hobinya suka mendengar muzik. Dia memiliki pentasnya sendiri dan beberapa penyanyi yang menjadi penghiburnya. Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar sahaja seruan azan, dia segera memerintahkan penyanyi dan pemuziknya berhenti seketika untuk menghormati seruan azan.
Setelah selesai menjawab azan barulah disambung semula nyanyian, hanya itulah sahaja amalan yang sentiasa dijaganya. Setelah dia meninggal, ramai kalangan orang yang soleh bertemu dengannya. Tanya mereka, “ibadah apakah yang menyebabkan ALLAH mengampunkan dosamu, adakah kerana kamu telah menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?
Jawab Zubaidah, “ALLAH telah mengampun dosaku dengan banyak mengucap syukur. Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali semasa hayatku dulu, apabila mendengar sahaja azan, sedang waktu itu aku tengah berhibur maka dengan serta-merta aku menyuruh mereka menghentikan hiburan dan menghormati seruan azan. Itulah ibadah yang benar-benar aku jaga.”
Maka ALLAH berfirman, “kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada dalam dadanya masakan dia mahu menyebut-Ku dalam keadaan leka.”
Sudah cukup-cukuplah kita dilekakan dengan kerja seharian. Sudah-sudahlah kita hanyut dengan nikmat dunia. Maka simpanlah sedikit jiwa kita untuk hari kemudian dengan melembutkan hati, menjawab seruan azan. Insya-Allah.
Sebenarnya saya terdorong untuk menulis tentang ini setelah hampir khatam buku terbaru terbitan Karya Bestari Sdn Bhd berjudul Tenggelam Dalam Nafsu.
Sumber : .sinarharian
1 comment:
noted...thanks..hehe
Post a Comment