Wednesday, April 6, 2011

Kerasnya hati Hindun

TANPA bercerita kisah wanita yang seorang ini, pengetahuan kita terhadap sejarah Islam seolah-olah tidak akan menjadi lengkap dan sempurna.

Hindun binti Utbah, sebagaimana yang diketahui umum mempunyai watak yang sangat protagonis dalam Perang Uhud yang bakal kita lalui kisahnya.

Sehingga beliau digelar sebagai pemakan hati, iaitu umpama manusia kanibal yang sanggup mengunyah anggota badan manusia yang lain semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri.

Namun sangat menarik jika kita dapat mengenali watak ini dengan lebih dekat melalui pelbagai pihak yang bercerita mengenai Hindun yang begitu memusuhi Islam sejak zaman jahiliah.

Namun kita tidak akan menemui sebarang kisah yang mendedahkan sama ada Hindun seorang wanita yang jelita atau cantik pada zamannya.

Tetapi yang sering diceritakan ialah mengenai jiwanya yang kental, seorang yang pintar berkata-kata, berpendirian tegas dan sangat berpengaruh terhadap kaumnya. Pendek kata dia menepati ciri-ciri wanita bangsawan walaupun menimbulkan pelbagai konflik.

Imam Ibnu Abdil Jarir menyifatkan Hindun sebagai: "Hindun adalah seorang wanita yang berjiwa besar dan memiliki kehormatan."

Nama sebenar wanita ini ialah Hindun binti Utbah bin Robiah bin Abdi Syams bin Abdi Manaf Al Umawiyah Al Qurasyiyah.

Ibunya bernama Shafiyyah binti Umayyah bin Haritsah bin Al Auqashi bin Murrah bin Hilal bin Falih bin Dzikwan bin Tsa'labah bin Bahtah bin Salim.

Hindun mempunyai dua adik beradik lelaki iaitu Abu Hudhayfah bin Utbah dan Al Walid bin Utbah.

Dia digambarkan sebagai seorang wanita Arab yang sangat luhur di kalangan wanita-wanita lain. Dia dikatakan seorang yang sangat fasih ketika berbicara, sangat berani, kuat, berjiwa besar, seorang yang berfikir atau berpandangan jauh dan penyair yang baik serta bijak.

Pendek kata, dengan sifat-sifatnya itu Hindun dipandang sebagai wanita yang mulia, sekali gus mengangkat nama dan nasab keturunannya untuk disegani dan dihormati oleh seluruh penduduk Arab terutama di zaman jahiliah.

Anaknya yang sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai pengasas Dinasti Umayyah iaitu Muawiyah bin Abu Suffian pernah menceritakan mengenai ibunya itu: "Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya di zaman jahiliah tetapi di dalam Islam, beliau menjadi seorang wanita yang mulia dan baik."

Sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, Hindun dikatakan pernah berkahwin dengan seorang pemuda bernama Al Fakih bin Mughirah Al Makhzumi sehingga melahirkan dua anak tetapi mereka kemudiannya bercerai.

Dalam hal ini Hindun berkata kepada orang tuanya: "Aku adalah wanita yang memiliki hak. Maka janganlah menikahkan aku lagi dengan seorang lelaki sebelum menawarkan dirinya kepada aku."

Lalu apabila dua orang lelaki datang meminangnya selepas itu, Hindun benar-benar memilih lelaki manakah yang terbaik untuk beliau jadikan suami.

Dia menolak lelaki pertama, iaitu seorang yang boleh dipengaruhi kerana kebodohannya walaupun dia dari kalangan keluarga terhormat.

Waima apa sekalipun yang Hindun akan lakukan kemudian hari, lelaki itu dikatakan akan tetap setia di samping Hindun.

"Kekurangan lelaki itu dapat dicukupkan (disempurnakan) dengan kecerdasanmu," kata bapa Hindun, Utbah.

Namun Hindun lebih memilih lelaki kedua yang meminangnya apabila mendapati lelaki itu menepati ciri-ciri yang dia kehendaki.

Antaranya, memiliki kehormatan yang tinggi, nasab dan kecerdasan yang tulin, sangat aktif pergerakannya, sangat berwibawa sehingga lelaki itu dikatakan dapat mengatur keluarganya sehingga seluruh anggota keluarga tunduk hormat terhadapnya

"Adapun lelaki pertama, dia adalah tuan yang akan lenyap kemuliaannya, akan membinasakan isterinya sendiri kerana akan hidup di bawah telunjuk isteri yang lebih berkuasa.

"Jika melahirkan keturunan, anak-anaknya pasti menjadi bodoh dan tidak mampu menunjukkan kehebatan.

"Maka jauhkan lelaki itu dariku dan tidak perlulah bapa memberitahu aku akan namanya.

"Sesungguhnya aku sangat tertarik dengan keperibadiannya dan dia boleh menjadi suami yang memiliki kemerdekaan yang sebenarnya di samping jika dilihat dari nasabnya maka tiada penghalang untuk kami berumahtangga.

"Tetapi siapakah lelaki itu wahai bapaku," tanya Hindun.

"Dia adalah Abu Suffian bin Harb," jawab Utbah.

Namun ada sumber sejarah lain yang cuba mempertikaikan keperibadian Hindun yang bangsawan itu dengan mengatakan wanita ini sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan ramai lelaki sebelum berkahwin dengan Abu Suffian, salah seorang pembesar ternama Quraisy Mekah.

Dengan lain perkataan, mereka menuduh Hindun sebenarnya seorang pelacur, malah hamil hasil hubungan dengan Abu Suffian menyebabkan Hindun terpaksa memberikan rasuah yang besar terhadap pembesar itu bagi membolehkan mereka berkahwin.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sumber Utusan Malaysia

Awien Heritage==> besarnya pergorbanan wanita di zaman dulu....


No comments: