KEMATIAN adalah satu
perkara pasti yang mesti dilalui setiap manusia. Maka kita perlu
menyediakan bekalan secukupnya bagi menghadapinya.
Kematian bukanlah jalan pengakhiran
kerana kita akan melalui alam barzakh sebagai tempat persinggahan
sebelum menuju alam akhirat.
Jika baik amalan kita di dunia, maka
baik juga ketika berada di alam kubur. Sebaliknya, jika buruk amalan
kita maka seksaan berat pasti menanti.
Sedar atau tidak, sesungguhnya manusia
sedang menuju kepadanya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia
proses alamiah kepada sebuah kehidupan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah
sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri darinya itu,
pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke zat
yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata.” (Surah Jum’ah ayat 8)
Sentiasa mengingati mati dan bersiap
sedia menghadapinya supaya kita dapat menuju ke alam baka dengan membawa
kemuliaan dunia dan akhirat.
Kita mengharapkan supaya dapat mengakhiri kehidupan dalam keadaan ‘husnul khatimah.’ Berikut antara tanda-tanda kita mati dalam keadaan husnul khatimah antaranya:
1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)
2. Ketika wafat dahinya berkeringat.
Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah
dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun
didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi)
berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)
3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah
seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat
kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)
4. Mati syahid di dalam medan perang.
5. Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa
yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid antara kalian?
Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang
mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.”
Baginda bersabda: “Kalau
begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.” Kalangan sahabat
kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati
syahid wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Sesiapa
yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah
dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut
(iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar
atau sejenisnya), dialah syahid dan orang yang mati tenggelam, dialah
syahid.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
7. Mati kerana tenggelam.
8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud:
“Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera,
kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid
berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)
9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.
10. Mati terbakar.
11. Mati kerana penyakit busung perut.
Mengenai dua perkara ini banyak riwayat dan yang paling masyhur dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan
syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera
adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah
syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar
adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau
tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil
adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
12. Mati kerana penyakit tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati
di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan
adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam
adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana
penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)
13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa
yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa
menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Barangsiapa
mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang
mati membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati membela agama
(keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan
darah (jiwanya) dia syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasaie, dan at-Trmizi (sahih))
15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga
(waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada
berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya.
Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya
dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).” (Hadis riwayat Muslim)
16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatimah.
Rujukan – Ahkamul Janaaiz wa Bida’uhaWallahu’alam….
Sumber : hasnulhadiahmad.com
No comments:
Post a Comment