Cerita ni agak panjang...Sungguh sedih membaca kisah ini.....
Baca lah sehingga habis... Share jika ia membuatkan air mata anda mengalir..
"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa
kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak
menyusahkan aku?" Marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab
sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau
ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal
di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau
susah sangat nak dengar nasihat orang hah?" Leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan
diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia
melihat si ibu bergegas pergi mencari sesuatu dan kembali semula dengan
rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam
hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau
cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu?
Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar
namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di
kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal
sebenar. Si ibu semakin bengang. "Jadi betul la kau yang mulakan
pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakit, sekarang nah,
rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah
Along menjerit kesakitan. "Sakit bu, sakit…maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi.Bu, jangan pukul bu..sakit bu.. "
Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. "Tau
sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali
ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
"Bu, ampunkan Along bu,bukan Along yang mulakan, bukan Along bu, sakit
bu..!!" Rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along
memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun
siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.
Along hanya mampu
berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana
sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya
setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along.
Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap
mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu.
Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan
ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga
sepanjang malam.. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia
asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang
berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat
memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah
tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah
untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along
sempat menjeling ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi kesempatan
untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya
seorang.
Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit
pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang
masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai
minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek
rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap
terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali
ini.
Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun
masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya.
Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan
matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar
dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang
dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah
mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam
SPM.
Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu
walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang
pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu
tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu
menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula
semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan,
Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu
masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab
ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus
menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang
kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang
terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap
makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan
usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu.
Namun, belum
sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang
daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba
berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka. "Ibu..ibu
masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih
kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang
lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya
itu.
Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan
mereka sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu
boleh?" "Eh! jangan, nanti dulu… Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak
Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas
mandi dan tukar baju dulu ye!" Si ibu bersuara lembut. Along menarik
nafas panjang dan melepaskannya perlahan…"Anak-anak kesayangan ibu nak
balik rupanya" bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik
ke ibu?" Soalnya lagi. Atih masih belum berganjak dari dapur. Si ibu
mengangguk sambil tersenyum.
Di wajahnya jelas menampakkan
kebahagiaan. "Oooo.. patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi
Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?"
Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa
jawapan dari ibunya. "Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan
Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!"
Terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni untuk Along
pun!" Soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along
mula terasa sebak.
Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya
itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit
pun pada ibu yang sangat disayanginya. "Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap
lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas" Arah ibu.
Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal
yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap
tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti
hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat
hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas
ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar
sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai,
kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang
jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
"Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni" Dia bermonolog sendiri. Along
melangkah masuk ke dalam kedai itu.
Sedang dia membelek-belek
jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh.
Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. "Laa..kau ke, apa kau buat kat
sini?" tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. "Aku
tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?" soalnya pula.
"Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak
beli dan hadiahkan kepada mak aku" Jelas Along jujur. "Waa..bagus la
kau ni Azam. Kalau kau nak beli, aku bagi potongan harga 50%. Macam
mana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. "Betul ke ni
Riz? Nanti marah kakak kau!" Along meminta kepastian.
"Untuk
kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!" Balas Fariz meyakinkannya.
"Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni."
Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk bahunya sambil
tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz .
Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu
berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap
dipukul lagi. Pada kau ada berapa ringgit sekarang ni?" soal Fariz yang
benar-benar ingin membantu sahabatnya itu.
Along menyeluk saku
seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh
itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli
minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!" pesan Along
bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.
Hari
semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba,
kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka
seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana
sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup
makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi
bersama sepinggan nasi di atas meja.
Tanpa berlengah dia terus
makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru
nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?" Soalan ibu yang
bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa
makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila
lapar nak balik rumah" Leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus
berusaha mengukir senyum dan membuat muka selambar seperti tidak ada
apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja
makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya
seperti tidak berpuas hati.
"Along ni teruk tau. Suka buat ibu
susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu" Marah
Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan
diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu
tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk
membisu sahaja. "Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je
kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu”" Sampuk
Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh.
Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka
melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka.
Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam
mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke
biliknya. Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru.. Hatinya pula
jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia
menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya.
Along nekad,
esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di
Bandar B. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti
yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap
dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah
tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu
menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan
selama seminggu.
Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan
selama beberapa hari. Justeru dia terpaksa berbohong agar ibunya tidak
bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke
Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Tengah hari
itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel
membaiki motorsikal. Upahnya lima belas ringgit sehari. Along rasa
sangat bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat
membelikan jubah untuk ibu.
Hari ini hari ke empat Along keluar
daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan
Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa
hati keibuannya agak tersentuh setiap kali memandang bilik Along. Tetapi
kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda
anak-anaknya yang lain.
Seperti hari-hari yang sebelumnya,
Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sydah lebih 10
hari Along bekerja di situ. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu
sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak
membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma.
"Azam, kalau aku tanya kau jangan marah ke?" Soal Abang Joe tiba-tiba
sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. "Macam serius jer
bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya, kau lari dari rumah
kan?"
Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap
ke dalam mulutnya tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan
sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air.
"Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi
cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along
sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan
mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan
sedih.
"Azam, kau ada cita-cita tak ataupun ada impian apa-apa
ke?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang
selesa dengan soalannya tadi. "Ada!" Jawab Along pendek. "Kau nak jadi
apa satu masa nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam
aku atau apa?" Along menggeleng-gelengkan kepala. "Semuanya tidak! Cuma
satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli
ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak
serius menjawab soalannya itu.
"Ala, gurau ja la Abang Joe…
Sebenarnya, saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan saya nak jadi anak yang
soleh!" Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga
Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di
dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri
sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada
cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu
rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu,
petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan
soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ni, saya nak balik
rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni" Ucap
Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang
mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak
muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga.
Sebelum berlalu,
Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa
agak sebak. "Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya
tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe" Kata
Along lagi. "Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah
aku!?" soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah-anggap
tentang soalannya tadi.
Along hanya senyum memandangnya. "Tak
apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya
rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan
abang ni semakin maju" Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe
memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk
membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah
dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. "Hey Azam, mana kau
pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari
rumah
ke?" Soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. "Along
hanya tersengeh menampakkan giginya. "Azam, mak kau marah kau lagi ke?
Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk siMalik tu?"
"Tak pe lah, perkara dah berlalu.lagipun, aku tak nak ibu aku terasa
hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, Terang Along dengan tenang.
"Kau jadi mangsa Azam. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau
yang salah”, kata Fariz lagi. "Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku
sedih. Lagipun aku tak kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!" "Azam..kau
ni.." "Aku ok, lagipun aku tak mahu menyusahkan lagi ibu aku. Aku tak
nak dia sedih dan ingat kisah tu lagi" Jelas Along memotong kata-kata si
sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
"Aku nak beli
jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali,
ok!" pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.
"No problem, tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" Soal Fariz ingin
tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along.
"Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah
kedai makan pakcik kantin kita tu!" Jelas Along dengan panjang lebar.
Fariz mengangguk. "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"
"Hari ni laĆ¢.." Balas Along.
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ya?"
"Bukan, minggu depan"
"Habis? Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?" Soal Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni je yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku
harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi" Jawabnya sambil mengukir
senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai
turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah
itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang
sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motorsikalnya sudah membelok ke
Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah
kereta wira yang dipandu laju cuba mengelak daripada melanggar seekor
anjing yang tiba-tiba muncul di depannya. Pemandu kereta itu menekan
brek dan mengelak tapi dek jalan yang licin, ia hilang kawalan. terus
merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.
Akibat
perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan
mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar
yang dipakainya mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya. Along
membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu.
Dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang
terburai dari kotak itu.
Darah semakin membuak-buak keluar
dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu,
Along melihat kelibat orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke
arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul wanita tersebut. Dia tahu,
wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup
saat itu.
Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga
dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya.
Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin
lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad
yang masih di genggamannya itu. "Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk iiiiiibu" Itu
saja yang termampu diucapnya sambil berusaha mengukir senyuman.
Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Sebaik habis
mengukir senyuman bahagia itu, Along terasa kesakitannya sudah tidak
tertahan lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih semakin sayup terdengar.
Matanya sudah sangat berbinar. Di gagahnya menahan matanya untuk terus
menatap wajah ibunya selama yang mungkin.
Along sudah
kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Si ibu begitu cemas bercampur
sebak dan sedih. Kepala dan tubuh Along dipeluknya sambil dicium
berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan
lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat,
terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai
dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.
Along
di bawa ke hospital dan disahkan sudah meninggal dunia. Siibu menangis
semahu-mahunya menyesali tindakannya terhadap Along. Dia lebih menurut
nafsu dan emosi. Along sudah pergi untuk selama-lamanya. Tangisan dan
penyesalan tidak akan mengembalikan Along ke pangkuannya semula. Sebaik
pengebumian jenazah Along, si ibu terus duduk di sisi kubur Along
bersama Angah, Alang dan Atih. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah,
Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian
seorang abang yang selama ini disisihkan.
Sedang melayani
perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati
wanita separuh umur itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya
selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah
langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya
sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami.. Dia sengaja cari
pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas
tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang
pembunuh dan dia jugak cakap, ibunya iaitu mak cik sebagai seorang
perempuan gila. Azam pukul Malik sebab tak sanggup mendengar Malik
menghina ibu dan ayahnya"
Cerita Fariz dengan nada sebak. Si
ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia
merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak
ceritakan pada makcik Fariz? Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab..Azam
tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa itu. Dia cakap, dia
tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan
yang makcik ada sekarang walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia
tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula"
Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran
bagi pihak sahabatnya itu.
Siibu terdiam mendengar penjelasan
Fariz. Lidahnya kelu untuk berkata-kata lagi. Terasa seluruh anggota
badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh
hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang
selama ini dianggap anak derhaka.
Dengan lemah, wanita itu
mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping
kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu
dibaca. ˜Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap Along
selama ini. Andai Along melukakan hati ibu, Along pinta sejuta kemaafan.
Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi.
Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu dan
terimalah hadiah ini dari anakmu yang banyak menyusahkanmu....UNTUKMU
IBU!"
Kad itu dilipat dan dicium. Air matanya sekali lagi
melunjur deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi siibu menangis
semahu-mahunya. Segala perasaan sedih, pilu, sayang, menyesal dan
marahkan diri bercampur baur di dalam dadanya. Setelah beberapa lama,
siibu tenang semula. Di dalam hatinya siibu berkata "Ya Allah!! Aku
mohon ampun padamu atas apa yang sahaja kesalahan aku kepada anak ini.
Kau saksikanlah Ya Allah bahawa aku meredainya sebagai anak yang soleh..
Engkau tempatkanlah Along anakku ini di dalam syurgaMu yang kekal
abadi!"
Mereka terus terkenangkan Along... sedangkan di depan
mereka di sebalik alam nyata, berdiri ruh Along memerhatikan Ibunya dan
mereka. Along hanya tersenyum melihat keluarganya yang sudah menyaksikan
kebenarannya. Along berbahagia menerima kiriman doa yang sangat
berharga dari Ibunya..... Ruh Along terus terbang jauh-jauh menuju
kesejahteraan dan kebahagiaan yang sebenarnya di alam sana...
Sumber : Suara Muhajirin
No comments:
Post a Comment