Menyusul menggantikan ‘Cinta Jannah’, sebuah lagi drama hebat akan
menghiasi slot Akasia berjudul ‘Love You Mr Arrogant’ yang menampilkan
lakonan hebat Azlee Khairi, Zara Zya, Hanez Suraya, Keith Foo, Anzalna
Nasir, Norish Karman, Mustapha Kamal dan ramai lagi.
Drama bersiri 26 episod ini mengisahkan tentang Irham (Azlee Khairi)
dan Zaara (Zara Zya) yang bertemu dalam satu kemalangan kecil yang tidak
disengajakan. Ketika itu, Irham sedang buntu memikirkan cadangan
emaknya, Puan Sri Maryam (Norish Karman) yang ingin menjodohkan dia
dengan Sherry (Hanez Suraya) wanita yang tidak pernah dicintai.
Beberapa hari mengenali Zaara, Irham kemudian menyatakan hasratnya
untuk memperisterikan Zaara bagi mengelak dirinya dari berkahwin dengan
Sherry dan memenuhi syarat ayahnya, Tan Sri Zahir. Jika Irham tidak
berkahwin dalam masa terdekat, syarikat Irham Holdings akan jatuh ke
tangan sepupunya, Hadry. Irham tidak mahu syarikat yang dibangunkan oleh
keluarganya itu jatuh ke tangan orang lain dan dia sanggup melakukan
apa sahaja demi mempertahankannya.
Zaara terkejut dengan permintaan Irham. Malah, Irham sanggup
menghubungi ibu bapa Zaara dan membuat pengakuan yang kononnya dia dan
Zaara sedang bercinta dan dia ingin menghantar rombongan meminang Zaara.
Perbuatan Irham itu membuatkan Zaara berasa terhina kerana baginya
Irham sengaja menggunakan alasan perkahwinan itu sebagai tanda Zaara
membayar ganti rugi hutang kemalangan tempoh hari.
Akhirnya, Zaara rela menerima kehendak Ilahi demi menjaga maruah
keluarga meskipun tiada perasaan cinta terhadap lelaki asing dalam
hidupnya itu. Namun Zaara tidak menyangka bahawa keputusannya itu
membuatkan hidupnya kacau-bilau dengan perangai ego Irham. Malam pertama
sahaja dia sudah diuji apabila Irham tidak membenarkan Zaara tidur
sekatil dengannya. Malah Zaara juga terpaksa akur berdepan dengan
layanan kurang mesra dari keluarga Irham.
Tanpa disedari, Zaara mula menyintai suaminya dalam diam. Walaupun
Irham nampak kasar dan sombong tetapi Zaraa dapat merasakan Irham mula
mengambil berat tentang dirinya serta sangat melindunginya dari disakiti
oleh Puan Sri Maryam dan Sherry.
Di saat pasangan itu mula mengecapi kebahagiaan, hubungan mereka diuji
dengan kehadiran orang ketiga di mana Faisal, rakan sepejabat Zaara yang
psiko dan menggilai Zaara sanggup menggunakan tipu helah jahat demi
mendapatkan Zaara. Malah, Hadry juga mula sukakan Zaara dan sentiasa
berusaha mendekatinya. Ini membuatkan Irham cemburu dan dihimpit dengan
tekanan untuk mempertahankan rumah tangganya.
Malah, Irham juga mendapat berita tentang Puan Sri Maryam yang disahkan
mengalami masalah jantung yang agak teruk. Puan Sri Maryam meminta
Irham agar menunaikan hajatnya dengan mengahwini Sherry. Mengenangkan
kesihatan Puan Sri Maryam yang semakin tenat itu membuatkan Zaara
mengizinkan Irham untuk berkahwin dengan Sherry. Irham tersepit dengan
keadaan yang menghimpit dirinya. Adakah Irham akan menurut hajat
terakhir emaknya atau mempertahankan rumah tangga bersama isteri yang
baru dicintainya itu?
Kepada semua penonton, jangan ketinggalan menyaksikan drama ‘Love You
Mr Arrogant’ mulai 25 September, setiap hari Isnin hingga Khamis jam
7.00 petang di TV3.
Awien Heritage : Bagi Awien jalan cerita macam yang sebelum2 ni..tp tetap teruja untuk menonton...sebab utama Drama Slot Akasia jarang menghampakan saya... hehe.. harap2 juga ending cerita ni biarlah best jgn tersangkut mcm cerita Cinta Jannah..banyak lagi rasa yang perlu diperbaiki lebih2 lagi jalan cerita dipenghujung...baru la power... Tahniah bagi drama " Setia hujung Nyawa". Best sangat :D
Sumber : Media Hiburan
1 comment:
Nk tnye arw ...bmw ape erk yg irham pkai ..
Post a Comment