Wednesday, April 3, 2013

Berat Mata Memandang Berat Lagi Baru Yang Memikul


Artikal ni diambil melalui Akhbar Sinar Harian Online. Lawatan YB Dato' Abdul Rahman Bakar dan rombangan Pejabat Pegawai Pembangunan Parlimen Marang ke rumah pesakit2 kronik di sekitar Dun Bukit Payong. Berat Mata Memandang Berat Lagi Baru Yang Memikul. Sama-sama kita doakan agar sakit yang ditanggung berkurangan. amin..


Derita buah pinggang

Wartawan Sinar Harian
26 Januari 2013
Derita buah pinggang
Yunus menghidap penyakit buah pinggang darah tinggi menyebabkan dia sukar untuk bergerak.
 
MARANG - Tiada manusia meminta untuk sakit apatah lagi ketika usia mereka semakin meningkat, namun bagi Yunus Muda, 63, dari Kampung Paya Resak, Bukit Payung di sini, dia reda dengan pelbagai penyakit yang dihidapnya.

Bapa enam anak yang menghidap penyakit buah pinggang itu juga menderita penyakit darah tinggi  hingga menyukarkannya untuk bergerak.

“Beginilah keadaan saya yang tidak berupaya untuk bergerak kerana seluruh badan menjadi lemah dan terpaksa berehat serta makan berpantang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Resak di sini.

Menurutnya, dia telah ditakdirkan menanggung penderitaan tersebut sejak beberapa tahun lalu dan terpaksa mengharapkan isteri, Siti Minah Muda, 62, untuk menjaga keperluan hariannya.

Isterinya berkata, suaminya itu juga perlu membuat pemeriksaan lebih kerap sejak sebulan lalu, berbanding sebelum ini hanya sekali dalam tempoh dua bulan kerana penyakitnya kini semakin teruk bermula tiga minggu lalu.

“Sakit yang ditanggung suami makcik juga semakin hari menjadi serius sehingga dia mengalami sakit seluruh badan dan perlu membuat pemeriksaan lebih kerap di hospital,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Salleh Taib, 78, dari Kampung Sena Rendang di sini, pula mengalami masalah penyakit jantung dan mula menghidap penyakit tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Salleh berpendapat penyakit yang dihidapinya itu adalah berpunca daripada kurang menjaga pemakanan ketika muda namun, dia bersyukur kerana masih mampu menguruskan diri dan melakukan kegiatan harian.

“Manusia perlu makan apa yang diperlukan untuk hidup dan bekerja, namun perlu menjaga pemakanan untuk mengelak menghidap pelbagai penyakit serius yang boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Atas dasar simpati terhadap pesakit dan warga emas terbabit, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Payung, Zaidi Muda mengunjungi kedua-dua pesakit itu di sini.

Menurut Abdul Rahman, penyakit yang dideritai dua pesakit terbabit boleh dirawat dan mereka memerlukan perhatian rapi daripada ahli keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, dua pesakit terbabit turut menerima sumbangan daripada Abdul Rahman.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/derita-buah-pinggang-1.125318

No comments: